Yang terpendam.

Kakakmu mengajarku bahwa, dengan do'a
Seluruh dunia mampu kumiliki
Kata dia, do'a sang musafir itu ada sisi mustajab
Aku semat kata-kata itu dan bawa bersama
Ke bumi al-Fateh yang mulia.

Nah,
Tiap kali kumemandang langit
Pesan kakakmu itu terngiang-ngiang di gegendang telingaku
Lalu kubisikkan do'a untuk insan- insan yang kusayang
Termasuklah kamu yang jauh di sana
Agar Tuhan yang Maha Mendengar sentiasa
Menjaga kamu-kamu, di dunia dan akhirat

Seringkali aku bertanya kepada Dia,
Mengapa perlu adanya penantian?
Bukankah penyatuan itu lebih menenangkan
Serta mendamaikan? Memudahkan hal ibadat serta
Interaksi antara dua jiwa yang saling menginginkan
Antara satu dengan yang lain?

Di bumi Sufi,
Dia menjawab.
Salji dan alam sebagai manifestasi kepada jawaban-jawaban
Penantian itu juga satu ibadah
Andai ianya diisi dengan ketaatan kepada Allah
Penantian itu satu latihan
Kepada sifat-sifat yang diperlukan dalam pelayaran
Bahtera perkahwinan
Sabar, berkorban, meletakkan kepentingan orang lain
Sebelum diri
Sabar mentaati Allah, Rasul, ibu bapa dan yang berhak untuk ditaati

Sebagaimana sabarnya bumi menahan sejuk musim dingin,
Sementara menunggu kehadiran musim panas.
Semuanya akur; pokok menggugurkan daun-daun
Tanah menerima baik butir-butir salji yang jatuh
Indah pemandangan itu..

Mungkin saja..
Penantian kita akan jadi seindah itu
Dan semoga penyatuan pada suatu hari nanti
Akan seperti hangatnya mentari musim panas
Menyinari bumi Tuhan, dalam ketaatan.

Aku akui,
Kadangkala kausinggah di jendela mindaku,
Mengetuk lembut pintu hati
Namun buat masa inu, aku terpaksa 'menghalaumu'
Ketempat asalmu
Sambil diiringi doa musafir pendosa sepertiku

Baik-baik sahaja ya kamu,
Yang berusaha menjadi tetamu syurga Allah..



Ala Turca Hotel,
Cappadocia, Turki.

Comments

Popular posts from this blog

Mitsaqon Gholizho

It has been quite some time

Dear Sumaiyah #1