Akhawat sana- sini; pengalaman bersama mereka.

Selepas Allah, Rasul dan keluarga, akhawat merupakan support system saya yang terkuat. 

Siapa sangka, selepas saya dijemput "Makcik Hidayah" di KMB untuk menyertai gerabak DNT ini, saya berpeluang merasai nikmat ukhuwwah dengan akhawat. Bagi saya, cantik sahaja susunan Allah. Di saat Allah menarik nikmat merasai kasih sayang seorang ayah, Dia menggantikan dengan kasih sayang yang tidak putus- putus daripada sahabat, daripada akhawat. 

Sangat terkesan dengan ayat Allah dalam surah al- Imran yang berbunyi,

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu karena nikmat Allah, menjadilah kamu orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (Ali Imrân/3:103)


Saat ukhuwwah teruji

Bilamana saya kata nikmat dalam ukhuwwah, saya tidak bermaksud hanya yang indah- indah sahaja. Gelak tawa, rasa gembira atau senang hati sentiasa. Tidak sama sekali. Bahkan, apa yang saya maksudkan ialah nikmat ketika diuji dalam ukhuwwah bersama akhawat ini lain perasaan dia berbanding sebelum ini. 

Ketika diuji, memang akan ada perasaan kecewa, marah dan sedih. Tetapi dalam tarbiyah, kita diajar untuk mengimani bahawa ukhuwwah adalah buah kepada iman. Sekiranya sesuatu yang kurang senang berlaku dalam ukhuwwah, maka perkara pertama yang perlu dimuhasabahkan ialah keadaan iman. Mungkin sahaja ketika iman berada dalam keadaan yankus (turun), kita mudah untuk menyakiti hati orang, perasaan hasad dengki yang mula menjalar ke dalam hati atau ego mula membuak- buak tinggi. Hasutan- hasutan syaitan mula didendangkan di gegendang hati kita menyebabkan segalanya menjadi serba tidak kena. Tidak semena- mena mata kita mula menjadi seperti mikroskop; mudah melihat dan menilai kesalahan orang lain, walaupun kesalahan itu terlalu kecil. 

Menarik sahaja apabila perspektif ini dilihat dari segi bagaimana kita mahu encounter sekiranya hal ini timbul. Berdasarkan pengalaman saya dalam mendepani hal ini, perkara pertama yang perlu ada dalam diri seorang muslim ketika diuji dengan perihal ukhuwwah ialah akhlak dalam menghadapi masalah tersebut. Benar, kita akan ada perasaan yang kurang enak kerana ia melibatkan seseorang yang kita sayang. Namun, perlu diingatkan bahawa akhlak tidak sepatutnya menjadi taruhan api kemarahan tatkala mendepani masalah ini. Seharusnya sikap berlapang dada dan tabayyun (meminta penjelasan) perlu ada untuk menjernihkan suasana yang keruh.

"Wahai orang- orang yang beriman, jauhilah dari banyak prasangka; sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari- cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada diantara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Adakah diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu patuhilah larangan- larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesunguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani" 
(49: 12)

Untuk mendepani ujian ini, peranan iman sangat penting. Keimanan akan menuntut kita untuk mempertahankan tali ukhuwwah yang dibina kerana Allah, daripada memenangkan hawa nafsu yang mencintai perpecahan. Letak ego di tepi, rendahkanlah diri untuk memohon kemaafan atau penjelasan. Merendahkan diri yang saya maksudkan bukanlah bererti merasakan diri sebagai "victim", tetapi kerana perasaan mahu selamatkan ukhuwwah yang terjalin. Bahkan, Allah mencintai orang yang suka memaafkan serta meminta maaf kepada orang lain.

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”  - (QS. Al-Imran: 133-134)

“Jadilah engkau pema’af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh.”  - (QS. Al-A'raf : 199)

Tiada kerugian pun dalam usaha mempertahankan dan memperbaiki ukhuwwah yang terjalin. Bahkan, ujian sebegini adalah sebagai medan tarbiyyah yang mengajarkan kita erti berlapang dada, rendah hati, memaafkan, bersikap positif serta bersama- sama menjadikan diri lebih baik untuk masa akan datang. Paling penting, segala yang dilakukan tidak lain hanyalah untuk mencapai keredhaan-Nya! 

Kerana pada akhirnya, Allah yang memegang hati semua orang dan dengan izin-Nya masalah yang timbul dapat diselesaikan, tetapi peranan usaha tidak dipertikaikan dalam hal ini.

Manisnya ukhuwah!

Alhamdulillah, Allah memberi saya terlalu banyak nikmat dan peluang merasai manisnya ukhuwwah. Saya belajar banyak dengan akhawat terutamanya, tentang banyak perkara yang baik dan positif. Saya nampak struggles mereka untuk memperbaiki amal- amal serta diri mereka. Akhawat bukanlah wanita yang maksum dan tidak melakukan dosa atau tahu segala- galanya tentang islam. Tidak sama sekali. Tetapi, mereka ini wanita yang terus menerus mencuba melakukan segala yang terbaik dalam mencari redha Allah. Mereka berusaha menjaga hubungan dengan Allah dan Rasul, menjaga hubungan dengan manusia serta alam sekitar.

Antara benda besar yang saya nampak mereka semua cuba amalkan ialah sifat itsar (mendahulukan orang lain). Bayangkan, saya tidak mempunyai kenderaan sepanjang berada di Penang ini. Kereta atau motor, kedua- duanya saya tiada. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk saya ke hospital Penang/ Seberang Jaya atau Taiping. Jadual waktu saya terlalu jarang untuk sama dengan ahli rumah yang lain. Tetatpi bayangkanlah, akhawat- akhawat ini, bila saya tanya dalam Whatsapp kumpulan rumah tentang availability kereta untuk minggu tersebut, mereka berlumba- lumba menawarkan kereta mereka untuk saya guna. Bila tanya adakah mereka ada kenderaan untuk ke hospital atau uni, mereka akan carpool dengan ahli rumah yang sama jadual. Subhanallah. Tak teragak- agak untuk memberi pinjam. Malah ada yang tanya kenapa memilih untuk tidak meminjam keretanya. Saya agak terkesima dengan situasi ini. Sentiasa. Kerana saya berfikir, apa yang menolak mereka untuk bertindak sedemikian? Kawan kumpulan perubatan saya kata, ahli rumah saya memang baik. Kalau mereka, belum tentu mereka akan bertindak seperti itu. Saya hanya tersenyum dan jawab dalam hati, hanya redha Allah yang mereka cuba kejar, dengan berlumba- lumba bersikap ithar.

Selain itu, akhawat- akhawat yang saya kenali sangat rajin dan tip- top dalam ibadah fardhu dan sunat mereka. Qiamullail sudah seperti amalan fardhu pula; hampir setiap malam akan ada orang bangun awal dan mengejutkan akhawat lain yang masih lagi tidur untuk qiamullail secara berjemaah. Di rumah saya, pukul 5.15-5.30 am akan cerah dan ruang tamu akan dipenuhi dengan orang- orang yang solat malam. Alunan ayat suci al- Qur'an akan bergema dalam rumah. Selepas itu, kami akan solat Subuh secara berjemaah. Oh ya, di rumah ini, kami melazimi solat berjemaah. Kalau hujung minggu, selepas Subuh dan Asar, al ma'thurat akan dibaca secara beramai- ramai juga (selalunya waktu Subuh saya akan 'berperang' untuk tidak tidur ketika al ma'thurat haha). Beberapa akhawat akan membuat pengulangan hafazan secara individu atau berdua. Dalam seminggu akan ada sesi tazkirah rumah selalunya selepas Maghrib atau Isyak. Sesi ini dilakukan untuk mengingatkan kembali ahli rumah tentang sekecil- kecil perkara tentang menjadi seorang muslimah yang solehah. Suasana solehah ini dibina dengan usaha dan semangat daripada semua orang dalam rumah. Alhamdulillah, ia mengajarkan saya tentang usaha pembaikan diri ini memerlukan sokongan daripada orang sekeliling dan ia bisa dijayakan dengan bantuan sahabat- sahabat yang soleh/ah. 

Kalau nak cerita tentang kebaikan- kebaikan yang saya terima daripada akhawat, memang tidak terkira. Bukanlah saya bersikap memilih dalam berkawan, tidak. Tetapi saya lebih suka meletakkan perasaan dan pengalaman yang berharga dengan mereka ini teristimewa dalam hati saya kerana, tidak ramai yang mahu menerima atau berada dengan saya bila saya berada di posisi yang paling bawah (mentally, spiritually or physically). Belum masuk cerita sahabat yang sanggup menemani saya di hospital, yang menghubungi saya hari- hari untuk bertanyakan keadaan saya ketika saya sakit (beliau di Taiping pada waktu itu) dan banyak lagi.

Untuk semua akhawat yang pernah hadir dalam hidup saya, percayalah, antunna menunjukkan qudwah yang baik untuk saya turuti. Untuk akhawat yang tidak pernah berputus asa dengan saya, dalam mendidik atau bersahabat, terima kasih dan hanya Allah yang mampu membalas jasa antunna. Saya tidak punyai apa- apa yang berharga untuk ditawarkan kepada awak semua, sebagai galang ganti kepada kebaikan- kebaikan yang ditaburkan melainkan doa kepada Pencipta kita untuk mengurniakan semua redha dan syurga-Nya insyaAllah.

Akhir kalam, suka untuk saya berkongi sebuah sajak karya pak Salim A. Fillah yang bertajuk "Kubaca firman persaudaraan",

Ketika kubaca firmanNya, “sungguh tiap mukmin bersaudara”
aku tahu, ukhuwah tak perlu diperjuangkan
tak perlu, karena ia hanyalah akibat dari iman

aku ingat pertemuan pertama kita, akhi sayang
dalam dua detik, dua detik saja

aku telah merasakan perkenalan, bahkan kesepakatan
itulah ruh-ruh kita yang saling sapa, berpeluk mesra
dengan iman yang menyala, mereka telah mufakat
meski lisan belum saling sebut nama, dan tangan belum berjabat

ya, kubaca lagi firmanNya, “sungguh tiap mukmin bersaudara”
aku makin tahu, persaudaraan tak perlu diperjuangkan

karena saat ikatan melemah, saat keakraban kita merapuh
saat salam terasa menyakitkan, saat kebersamaan serasa siksaan
saat pemberian bagai bara api, dan saat kebaikan justru melukai

aku tahu, yang rombeng bukanlah ukhuwah kita
hanya iman-iman kita yang sedang sakit, atau menjerit
mungkin dua-duanya, mungkin kau saja
tentu terlebih sering, imankulah yang compang-camping

kubaca firman persaudaraan itu, akhi sayang
dan aku makin tahu,mengapa di kala lain diancamkan;
“para kekasih pada hari itu, sebagian menjadi musuh sebagian yang lain..
kecuali orang-orang yang bertaqwa”

Ahli Bayt Hannan (2016)

Daurah Musim Luruh (2014)

Di RNR selepas Dublin, dalam perjalanan ke daurah (2015)

Usrah Kabilah KL/Selangor (Summer 2015)


Jaulah ke Mu'tah, Jordan (Jan 2015)

Usrahmates di Ireland (2014)

Comments

Popular posts from this blog

Mitsaqon Gholizho

It has been quite some time

Dear Sumaiyah #1