Lelaki pertama.

Saya rindu akan lelaki itu.
Saya rindu akan lelaki pertama kali hadir dalam hidup saya.
Saya rindu akan ayah.

Bila saya muhasabah kembali perjalanan hidup saya, peranan "father figure" yang ayah mainkan telah membentuk sedikit- sebanyak diri, cara pandang serta cara saya berfikir.

Antara sumbangan terbesar ayah kepada adik- beradik terutamanya saya, ialah dia memperkenalkan budaya membaca kepada kami sejak kami kecil lagi. Kami banyak berpindah- randah sebelum tahun 2005. Tetapi setiap rumah yang kami tinggal, pasti akan ada satu sudut khas untuk mini perpustakaan keluarga. Setiap bulan, ayah akan membelikan majalah- majalah yang berinformasi dan sarat dengan ilmu dan berita semasa seperti Asuh, Dewan Bahasa, Dewan Ekonomi dan Dewan Sastera. Ayah akan  beli majalah- majalah serta buku- buku yang sesuai dengan umur serta tahap pemikiran kami pada waktu itu. Contohnya, ketika saya di sekolah rendah, ayah akan membeli majalah/ buku yang "comel- comel" seperti Asuh. Bila saya beranjak ke sekolah menengah, ayah mula memperkenalkan saya dengan majalah- majalah yang agak kritikal dan advance (bagi saya pada waktu itu) seperti Dewan Pelajar, Dewan Bahasa, Dewan Ekonomi (bayangkan umur 13, 14 tahun kena baca pasal ekonomi. Mungkin pengaruh ayah yang mempunyai lulusan ijazah serta master dalam bidang ekonomi).

Saya tidak mengeluh dengan "paksaan" ayah. Saya cuba untuk memahami isu- isu yang dibawa dalam pembacaan saya. Setiap bulan saya akan ternanti- nantikan ayah datang ke asrama (SBPI Rawang) sambil membawa beg plastik berlogo Pustaka Rawang atau Popular yang berisi dengan majalah- majalah tersebut. Bahkan, ayah menghadiahkan saya ketujuh- tujuh buku sequel Harry Potter. Ayah juga ada membeli buku- buku mengenai para sahabat, para anbiya', sirah dan para tabi'- tabi'in. Ada beberapa tafsir yang ayah berjaya kumpul.

Secara tidak langsung, hal ini telah membentuk cara pandang saya terhadap sesuatu perkara pada waktu itu. Bahan- bahan bacaan tersebut telah membantu saya membina perspektif saya tentang kehidupan. Bahkan, ia telah 'menolak' saya untuk lebih mencintai buku- buku berbanding manusia (lol). Atas sebab inilah saya sanggup berjumpa dengan cikgu Lembaga Kepimpinan Pelajar (LKP) sewaktu saya berada di tingkatan satu, untuk meminta borang LKP kerana saya ingin menjadi pengawas pusat sumber.

Walhal, sahabt- sahabat saya yang lain dicalonkan oleh cikgu. (Agak terlebih confident di situ). Sebelum sesi pemilihan pengawas pusat sumber, kami dikehendaki menjalani 'latihan' selama 3 bulan (kalau tak silap saya) dan diawasi oleh cikgu pusat sumber. Saya masih ingat lagi perasaan berkobar- kobar setiap kali giliran saya menjaga pusat sumber. Alhamdulillah saya terpilih selepas itu. :)

Tujuan utama saya menjadi pengawas pusat sumber selain untuk resume nampak cantik, ialah untuk 'bergelumang' dengan buku. Setiap kali saya nampak pusat sumber, hati akan berdegup kencang atau palpitation (over, macam orang jatuh cinta pula haha). Sejak dari hari itu, saya mula mengenali dan mencintai karya- karya Usman Awang, A. Samad Said, Faisal Tehrani, Arena Wati serta S. Othman Kelantan. Rak nombor 800 menjadi kegemaran saya (saya lebih cenderung membaca buku- buku bahasa Melayu pada waktu itu).

Selain itu, penulisan saya semakin baik dan saya sering mendapat markah terbaik untuk karangan bahasa Melayu. Cikgu Intan sering memuji isi- isi penulisan saya yang sentiasa up- to- date dengan isu semasa serta kemampuan saya dalam menghuraikan sesuatu tajuk secara meluas. Alhamdulillah, saya rasa saya mungkin tidak dapat pergi sejauh itu tanpa usaha ayah dalam memperkenalkan saya dengan budaya membaca.

Ayah juga seorang yang sangat gembira dan supportive dengan aktiviti- aktiviti kokurikulum saya. (Ibu pun supportive juga, tetapi ayah lebih lagi). Apabila ayah mendapat tahu saya berjaya menempatkan diri dalam top 20 pelajar terbaik peperiksaan Bahasa Perancis A2 (peperiksaan antarabangsa Bahasa Perancis) bagi keseluruhan Malaysia, beliau mahu saya menyambung pengajian bahasa Perancis selepas saya tamat SPM. Ketika saya mewakili Selangor dalam pertandingan karate dalam kategori kumite (lawan), ayah sangat risau, tetapi saya nampak rasa bangga beliau apabila saya berjaya membawa pulang 2 pingat perak. Ayah dan ibu tunggu di hadapan SEPINTAR seawal 5 pagi kerana menunggu kepulangan saya dari Pulau Pinang. Ayahlah orang yang paling gembira apabila beliau dapat tahu saya berjaya memenangi pertandingan syarahan agama kategori Bahasa Melayu di peringkat negeri Selangor. (Ayah pernah mewakili Johor dalam acara syarahan juga ketika beliau remaja) Saya berasa sangat gembira pada waktu itu. Segal- galanya terasa indah.

Tetapi Allah menguji keluarga kami pada bulan Mac 2010. Saya agak terkesan dengan peristiwa tersebut sehinggakan keputusan peperiksaan- peperiksaan saya termasuklah peperiksaan percubaan SPM jatuh dan merudum dengan teruk. Dalam waktu itu, pertama kali saya lihat ayah menangis di hadapan saya dengan teruk. Saya tak pernah lihat ayah sebegitu. Ibu juga.

Walaupun keadaan tidak seperti yang kami jangka, saya masih lagi dapat merasa kasih- sayang ayah. Saya ingat lagi pada bulan November 2010, saya menghubungi ayah dan memberitahunya bahawa saya mahu susu Dutch Lady satu paket (6 kotak kecil air cokelat). Pada hujung minggu, ayah datang ke asrama sambil membawa 2 katon air susu Dutch Lady perisa strawberi dan full cream. Saya sangat terkejut. Ayah kata, itu untuk bekalan saya sehingga saya SPM. (Menangis dalam hati)

Ada beberapa lagi peristiwa yang saya masih ingat dan ianya memberi impak yang mendalam dalam hidup saya. Nak cerita, sampai esok pun tak habis.

       *************************************************************************
Ayah, kakak sentiasa sayangkan ayah. Ayah sentiasa dalam doa kakak. Mungkin kita tidak bersua wajah atau bercerita di gagang talefon seperti orang lain. Kakak tahu ayah ada kehidupan baru sekarang. Dengan anak- anak ayah dan makcik. Ayah layak untuk bahagia. :) Kakak harap ayah tak lupakan kakak. Sebab kakak tak lupakan ayah juga, walaupun kakak tercampak jauh kat Ireland ni. Haha. Kakak tak tahulah ayah akan baca ke tidak, tapi kalau ayah baca, ketahuilah kakak minta maaf untuk semua salah silap kakak. Kakak sayang ayah sebab ayah tetap ayah kakak, walaupun apa yang telah terjadi. Semua manusia pernah buat silap, ayah. Cuma apa yang membezakan antara manusia- manusia ini ialah cara mereka mengatasi dan menghadapi kesilapan mereka.  Kalau ayah rasa rindu ke, jangan segan untuk call kakak. Kakak tahu ayah sibuk, sebab itu mungkin ayah tak sempat nak angkat atau balas mesej kakak. :) it's okay ayah, kakak faham :)

Kakak rindu ayah. Kakak rindu ayah yang dahulu. Kakak rindu kita yang dahulu. Sebab ayah ialah lelaki pertama yang hadir dalam hidup kakak.



Comments

Popular posts from this blog

Mitsaqon Gholizho

It has been quite some time

Dear Sumaiyah #1